Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

Labels

Tuesday 28 August 2012

Ulasan Jurnal - Gaya Kepimpinan Pengetua Wanita


Plot Intelektual. Penulisan ini merupakan cadangan dan ulasan jurnal “Gaya Kepimpinan Pengetua Wanita Dan Hubungannya Dengan Tahap Motivasi Guru Sekolah Menengah” yang merupakan hasil kajian dari Norhannah Ramli dan Jamaliah Abdul Hamid. Ia diterbitkan dalam Jurnal Pendidikan 31 (2006) 53-69. Tujuan utama kajian ini adalah untuk meninjau persepsi guru terhadap gaya kepimpinan pengetua wanita dan juga hubungannya dengan tahap motivasi guru-guru di sekolah-sekolah menengah di Kajang, Selangor.
Pengkaji berpendapat kajian ini penting disebabkan bilangan guru wanita dan pengetua wanita telah melebihi jumlah guru lelaki dan pengetua lelaki. Keupayaan mereka menjalankan tugas kepimpinan di sekolah mungkin diragui oleh guru-guru bawahan, terutama guru-guru lelaki. Pengkaji juga berpendapat disebabkan oleh berlakunya keraguan, ini akan memberi kesan terhadap kepercayaan dan kerjasama yang diberikan. Menurut Langer & Baris-Schacter (2003), pengetua wanita juga berhadapan dengan cabaran peribadi, iaitu espektasi masyarakat terhadap pemimpin wanita yang sentiasa dikaitkan dengan sifat penyayang.
Selain itu, pengetua wanita di sesebuah sekolah selalunya menghadapi dualism dalam bebanan tugas, iaitu sebagai pengetua di sekolah dan menghadapi tugas dan tanggungjwab mengurus rumah tangga (Langer & Boris-Schacter 2003). Pengkaji juga berpendapat wanita juga seringkali dianggap mengalami halangan, gagal menyelesaikan masalah dan pembuat keputusan yang tidak cekap. Selain itu juga, wanita dianggap tidak adil, kerap disalahertikan  kerana dikatakan membuat keputusan berdasarkan emosi dan sentiment. Baron (1987), mendapati beberapa alasan yang diutarakan oleh lelaki kerana tidak mahu menerima wanita sebagai ketua adalah seperti berikut : (1) Wanita tidak begitu yakin, (2) Wanita mempunyai kurang pengaruh atau kuasa, (3) Wanita kurang bijak berurusan, (4) Wanita Kadang-kadang terlalu mendesak.
Justeru pengkaji menyedari cabaran yang dihadapi oleh pengetua wanita, pengkaji mengambil inisiatif mengkaji apakah tahap gaya kepimpinan yang mampu diketengahkan oleh pemimpin wanita dalam situasi sekolah mereka. Dengan ini pengkaji akan mengenal pasti sejauh mana gaya kepimpinan pengetua wanita yang mengamalkan dimensi struktur tugas dan timbang rasa dapat mempengaruhi motivasi guru-guru di sekolah.
Ini disokong oleh kajian yang dijalankan oleh Abdul Ghani Abdullah (2006) iaitu Aliran pertambahan bilangan pengurus wanita di peringkat sekolah tidak dapat diketepikan lagi kerana data Kementerian Pelajaran Malaysia (2003) mendapati seramai 26 peratus daripada 8832 orang pengurus sekolah (pengetua dan guru besar) adalah wanita. Keupayaan pengurus wanita memperlihat iltizam yang tinggi dalam membawa keluar tanggapan tradisi kepada leading professional dan menggerak tahap motivasi serta potensi warga sekolah lebih terselah apabila data yang sama turut melaporkan bahawa empat daripada sembilan orang pengetua cemerlang yang dilantik terdiri daripada wanita.
Kajian ini berbentuk kuantitatif deskriptif dan dilakukan secara tinjauan dengan menggunakan kaedah soal selidik “The Reader Behavior Description Questionnaire (LBDQ) dan “A Questionnaire Measure of Individual Differences in Achieving Tendency (QMAT). Seramai 203 orang responden yang terdiri daripada tujuh buah sekolah menengah di Kajang, Selangor. Responden yang dipilih oleh pengkaji berdasarkan sampel rawak mudah supaya setiap guru mempunyai peluang yang sama untuk terlibat dalam kajian. Populasi ini hanya melibatkan guru, tidak termasuk Guru Penolong Kanan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Guru Penolong Kanan KoKurikulum, Penyelia Petang dan Ketua Bidang.
Pengkaji dapat menyatakan dengan jelas dapatan kajian beliau iaitu hasil daripada kajian ini, pengkaji dapati, walaupun gaya kepimpinan pengetua wanita berdasarkan dimensi struktur tugas lebih dominan berbanding dimensi timbang rasa, namun kedua-duanya berada di tahap agak memuaskan sahaja. Aspek tahap motivasi pula, didapati tahap  motivasi guru-guru terhadap tugas adalah ditahap agak memuaskan. Kajian ini juga mendapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan terhadap persepsi guru terhadap gaya kepimpinan pengetua berdasarkan faktor-faktor demografi guru. Begitu juga dengan persepsi guru terhadap tahap motivasi guru, tidak menunjukkan  perbezaan yang signifikan berdasarkan faktor-faktor demografi guru, kecuali faktor umur. Walau bagaimanapun, terdapat hubungan yang signifikan antara tahap motivasi guru dengan persepsi guru terhadap gaya kepimpinan pengetua wanita. Ini mengesahkan bahawa semakin tinggi persepsi guru terhadap gaya kepimpinan pengetua wanita, maka semakin meningkat tahap motivasi guru. Kajian ini menyokong dapatan berkaitan dan andaian umum yang menyatakan bahawa gaya kepimpinan pengetua wanita memang mempengaruhi tahap motivasi keja guru. Penulis dapat menyatakan dengan jelas hasil dapatan kajian. Hasil kajian yang telah diperolehi mengenai kepimpinan pengetua wanita tidak boleh dipandang rendah lagi; Gaya kepimpinan pengetua Wanita lebih berstruktur dan memuaskan. Di dalam konteks pendidikan, gaya kepimpinan pengetua amat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah sekolah.
Organisasi Artikel. Susunan artikel ini disusun dengan rapi dan teratur. Oleh yang demikian, ini telah memudahkan saya mencari jawapan-jawapan bagi persoalan-persoalan di atas. Saya juga dapati kajian ini mempunyai logik dan kestabilan dari permulaan jurnal iaitu abstrak sehinggalah kepada kesimpulannya. Mengenai kajian soalan kajian, Pengkaji ada menyatakan persoalan kajian di bahagian abstrak tetapi hanya secara umum tidak spesifik seperti dinyatakan di bahagian dapatan kajian.Selain itu, pengkaji ada menyatakan dengan jelas apa yang hendak dikaji di bahagian abstrak, dihuraikan dengan lebih terperinci dibahagian pengenalan.
Pengkaji ada menyatakan bahawa kajian ini merupakan  bidang yang penting untuk dikaji kerana kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada bagaimana pengetua dapat mengamalkan gaya kepimpinan yang berwibawa. Dalam konteks kepengetuaan di Malaysia, setiap pengetua semestinya mempunyai kebolehan untuk menginterprestasi perubahan dan menggunakan gaya kepimpinan tertentu dalam memotivasikan guru serta kakitangan ke arah perubahan tersebut. Menyedari cabaran yang dihadapi oleh pemimpin wanita, pengkaji mengakaji apakah tahap gaya kepimpinan yang mampu diketengahkan oleh pemimpin wanita dalam situasi sesebuah sekolah meraka.
Tinjauan Literatur. Mengenai tinjauan literatur, pengkaji tidak memfokuskan secara khusus. Walau bagaimanapun pengakaji telah mengaitkan tujuan kajiannya dengan tinjauan literatur untuk memperkukuhkan lagi hasil dapatan kajian pengkaji.
Selain itu, penulis turut menyenaraikan kajian literatur yang lepas. Dalam kajian ini pengkaji telah meninjau kajian oleh Hussine (1998), Kamal Arifin (2003), Khadijah (1999) dan Abd Latif (2003), telah mendapati motivasi guru mempunyai hubungan yang signifikan dengan kepimpinan, tetapi kajian mereka tidak mengambil kira faktor jantina pemimpin. Kajian Baron (1987) yang dirujuk oleh pengkaji, mendapati beberapa alasan yang diutarakan oleh lelaki kerana tidak mahu menerima wanita sebagai ketua adalah seperti berikut: (1) Wanita tidak begitu yakin, (2) Wanita mempunyai kurang pengaruh atau kuasa, (3) Wanita kurang bijak berurusan, dan (4) Wanita kadang-kadang terlalu mendesak.
Pemerhatian saya mengenai penulisan ini, pengkaji memfokuskan kepada kedua-duanya iaitu idea dan juga dapatan kajian yang lepas. Teori-teori yang dinyatakan di dalam jurnal ini juga mencukupi bagi menyokong idea dan dapatan kajian pengkaji. Soalan kajian di dalam jurnal ini juga mempunyai kaitan dengan teori-teori yang telah dinyatakan oleh pengkaji bagi menyokong kajian beliau.
Metodologi Kajian. Pengkaji ada menyatakan dengan jelas mengenai strategi kajiannya. Kajian ini berbentuk kuantitatif deskriptif yang berdasarkan sampel rawak mudah. Kaedah soal selidik telah dipilih untuk mengumpul data daripada responden. Soal selidik dalam kajian ini mengandungi tiga bahagian. Bahagian A ialah soalan yang berkaitan dengan maklumat latar belakang iaitu ciri-ciri demografi guru, iaitu umur, taraf pendidikan tertinggi, tempoh kerjaya dalam perguruan dan tempoh mengajar di sekolah. Bahagian B ialah soal selidik bagi mengukur gaya kepimpinan pengetua wanita yang mengandungi 45 item, di mana pengkaji telah menggunakan instrumen The Leader Behavior Description Questionnaire (LBDQ) yang dibentuk oleh Universiti Ohio (Halpin 1966). Bahagian C, adalah soal selidik bagi mengukur tahap motivasi guru yang dibentuk daripada A Questionnaire Measure of Individual Difference in Achieving Tendency (QMAT) oleh Mehrabian dan Bank (1978). Kajian rintis juga telah dijalankan oleh pengkaji bagi memastikan  item soal selidik boleh dipercayai dan ada keesahannya.
Di dalam kajian ini, Pengkaji telah menyatakan dengan jelas mengenai sampel kajian yang dikaji iaitu populasi seramai 280 orang guru yang terdiri daripada tujuh buah sekolah menengah yang dipimpin oleh pengetua wanita di Kajang, Selangor.
Berhubung dengan kaedah kajian, Pengkaji ada menerangkan justifikasi kaedah yang telah dijalankan secara jelas dan terperinci, di mana di dalam kaedah kajian ini pengkaji membahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu rekabentuk kajian, instrumen kajian dan sampel kajian. Pada pandangan saya, kaedah kajian yang dinyatakan di dalam jurnal ini adalah mencukupi.
Dapatan Kajian. Hasil daripada jurnal yang dirujuk didapati pengkaji ada menyatakan permulaan kajian di mana 280 set soal selidik yang telah diedarkan, hanya 203 set soal selidik iaitu (72.5%) yang diterima semula daripada responden. Ini  menyatakan di dalam Jadual 1 iaitu maklumat demografi responden.
Pada pendapat saya, hasil kajian adalah logik kerana setiap hasil kajian didapati mempunyai hubungkait yang tepat dengan objektif kajian. Penulis juga ada menyatakan data yang dianalisis di dalam jadual mengikut ujian yang telah digunakan dan disusun rapi bagi memudahkan penulis menerangkan hasil kajian yang telah diperolehi. Jadual yang yang disertakan oleh pengkaji adalah memadai dengan hasil kajian yang dikaji. Format jadual yang digunakan adalah bertepatan dengan format kajian yang sebenar.
Dapatan kajian ini diukur melalui dua demensi iaitu (1) Dimensi struktur tugas dan (2) Dimensi timbang rasa. Dua dimensi ini ialah ingin melihat gaya kepimpinan pengetua wanita. Penemuan kajian mendapati gaya kepimpinan pengetua wanita berdasarkan dimensi struktur tugas secara keseluruhannya berada pada tahap agak memuaskan dengan min=2.97. Menurut pengkaji gaya kepimpinan pengetua wanita dalam situasi dimensi ini diukur berdasarkan persepsi responden guru tentang cara pengetua wanita menstruktur dan mendefinisikan peraturannya dan peraturan pekerjanya kearah mencapai matlamat. Bagaimanapun, analisis item menunjukkan bahawa guru-guru lebih kerap melihat pengetua wanita melaksanakan struktur yang berkaitan dengan pengawasan disiplin guru, tetapi tidak semestinya kepada tugas-tugas rasmi yang lain, khususnya dalam bidang pencerapan. Ini menunjukkan bahawa guru-guru mempunyai persepsi bahawa pengetua menitikberatkan disiplin guru.
Dapatan kajian daripada dimensi timbang rasa, mendapati gaya kepimpinan pengetua wanita secara keseluruhannya juga berada pada tahap agak memuaskan dengan min=2.59. Menurut pengkaji gaya kepimpinan pengetua wanita dalam dimensi ini diukur berdasarkan persepsi responden guru tentang cara pengetua wanita menunjukkan persahabatan, saling menghormati, saling mempercayai dan jalin hubungan yang mesra antara pemimpin dan pekerjanya. Di sini pengkaji dapat menunjukkan walaupun bahawa pengetua wanita didapati mesra, bertanggungjawab dan bersedia berubah, namun mereka dilihat kurang berusaha untuk berbincang dengan guru-guru tentang keputusan yang perlu diambil. Jelas disini, gaya kepimpinan pengetua wanita bagi dimensi ini timbang rasa dilihat lebih cenderung kepada kemesraan, tetapi tidak semestinya kearah penglibatan kakitangan.
Manakala dari segi persepsi guru terhadap tahap motivasi guru, pengkaji dapat menunjukkan secara keseluruhannya berada pada tahap agak memuaskan dengan min = 2.90. Ini bermaksud  bahawa guru-guru bekerja bukan kerana terpaksa. Mereka juga berminat untuk belajar kemahiran baru serta sanggup bekerja keras dan juga dengan rela hati walaupun tanpa arahan daripada pengetua.
Hasil ANOVA sehala menunjukkan perbezaan persepsi guru terhadap gaya kepimpinan pengetua wanita adalah sperti berikut; (1) Tidak terdapat perbezaan persepsi yang signifikan antara guru berlainan umur terhadap gaya kepimpinan pengetua wanita. (2) Tidak terdapat perbezaan persepsi yang signifikan antara guru berlainan taraf pendidikan terhadap gaya kepimpinan pengetua wanita. (3) Tidak terdapat perbezaan persepsi yang signifikan antara guru berbeza penglaman mengajar terhadap gaya kepimpinan pengetua wanita.
Sekali lagi pengkaji menggunakan ANOVA sehala bagi melihat perbezaan tahap motivasi guru berdasarkan faktor-faktor demografi guru seperti berikut; (1) Terdapat perbezaan tahap motivasi guru yang signifikan antara guru berlainan umur. (2) Tahap mptivasi guru berbeza secara signifikan hanya mengikut umur guru. Sementara, faktor-faktor demografi lain seperti taraf pendidikan, pengalaman mengajar dan tempoh mengajar, tahap motivasi mereka adalah sama sahaja.
Oleh kerana terdapat perbezaan tahap motivasi guru yang signifikan mengikut umur, maka ujian Post Hoc Sceffe telah dijalankan. Keputusannya ialah terdapat perbezaan yang signifikan dalam tahap motivasi guru hanya terdapat antara guru yang berumur 31 hingga 35 tahun dan guru-guru yang berumur kurang daripada 30 tahun. Bagaimanapun, guru-guru yang berumur 31 hingga 35 tahun mempunyai tahap motovasi yang lebih tinggi. Faktor kematangan umur mungkin adalah faktor yang mempengaruhi tahap motivasi dan komitmen seseorang guru.
Dapatan kajian juga menunjukkan kolerasi positif yang signifikan, tetapi lemah antara tahap motivasi guru dengan gaya kepimpinan pengetua wanita. Ini bermakna walaupun tahap motivasi guru dipengaruhi oleh persepsi mereka terhadap gaya kepimpinan pengetua mereka, tetapi hubungan ini adalah rendah. Mungkin terdapat pelbagai faktor lain yang turut mempengaruhi hubungan antara kepimpinan pengetua wanita dan tahap motivasi guru.
Perbincangan. Penulis telah berjaya menghasilkan kajian ini dengan menyatakan hasil kajian pengkaji dengan tepat dan jelas. Data yang telah dikaji juga merupakan data yang sebenar diperolehi daripada kajian pengkaji dan data itu telah dianalisis mengikut objektif kajian yang dikehendaki. Pengkaji juga telah berjaya menghuraikan dapatan kajian pengkaji dengan teliti dan terperinci dan ada kesamaan dengan kajian daripada penulis lain.
Kesimpulannya penulis mendapati persepsi terhadap kepimpinan pengetua wanita di sekolah-sekolah menengah di Kajang, Selangor agak memuaskan dan lebih cenderung terhadap timbang rasa. Kajian ilmiah lain juga telah mendapat hasil dapatan yang sama terhadap pengetua lelaki dan wanita (Gan Pei Ling, 2003). Pengkaji berpendapat andaian bahawa wujudnya perbezaan dalam gaya kepimpinan wanita mungkin tidak tepat. Hasil kajian pengkaji juga mendapati bahawa kebanyakkan guru berpersepsi bahawa pengetua lebih banyak menitikberatkan pengawasan didiplin guru daripda melakukan kepimpinan pengajaran. Ini selari dengan kajian Jones dan Webber (2001) iaitu gaya kepimpinan pengetua yang lebih kerap mengawal daripada memberi bimbingan professional. Kesimpulan yang dibuat oleh pengkaji ialah faktor kepimpinan wanita merupakan hanya salah satu daripda beberapa faktor lain yang mempengaruhi tahap motovasi guru.
Kesimpulan. Pengkaji telah berjaya menghasilkan penulisan yang baik. Gaya penulisan jurnal ini adalah jelas, tepat dan teratur. Pengkaji juga menggunakan bahasa yang mudah difahami bagi menyampaikan idea-idea dengan ringkas dan padat. Penulisan pengkaji juga menggunakan tatabahasa, tanda bacaan dan mengikut  format penulisan yang betul. Penstrukturan ayat juga begitu baik.
Pada pendapat saya, menjadi pengetua, khasnya di sekolah  merupakan hak semua orang, hak-hak itu tidak boleh dibatasi oleh jantina. Kemampuan dan kecekapan pemimpin adalah diambil kira daripada bagaimana pemimpin itu mampu mempengaruhi orang lain untuk  meningkatkan organisasinya.
Hasil kajian yang dilakukan oleh Norhannan Rami & Jamaliah Abdul Hamid (2006), tentang “Gaya Kepimpinan Pengetua Wanita dan Hubungannya denganTahap Motivasi Guru Sekolah Menengah “ telah membuktikan dengan hasil dapatannya bahawa hasil kajian telah menunjukkan korelasi positif yang signifikan, tetapi lemah antara tahap motivasi guru dengan gaya kepimpinan pengetua wanita, iaitu r= .22, p <.05. Ini bermakna walaupun tahap motivasi guru dipengaruhi oleh persepsi mereka terhadap gaya kepimpinan pengetua mereka, tetapi hubungan ini adalah rendah.
Kerana Keberksanan dalam sebuah kepemimpinan, bukan disebabkan jantina atau laki-laki, tetapi lebih pada bagaimana seorang pengetua memainkan kecakapannya dari segala aspek, seperti komunikasi, serta langkah-langkah dalam memotivasi warga organisasinya.


1 comments:

Anonymous said...

syabas...terus maju

Post a Comment