Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

Labels

Featured Posts

Wednesday 12 December 2012

Tugasan Field Work: Gelagat Kembar

Ini adalah tugasan "Field Work" bagi Subjek Organizational Behaviour
Pemerhatian yang direkodkan pada 13 November 2012, di dalam tempoh 8 jam. Hasil pemerhatian subjek kajian terhadap anak-anak kembar yang berusia 4tahun. Kronologinya, subjek telah dibesarkan didalam satu fenomena yang mana tiada atau tanpa kasih sayang dari seorang bapa. Ini kerana konflik kekeluargaan berlaku yang mana saya dan bapa mereka telah berpisah ketika mereka berusia 3tahun. Subjek iaitu anak-anak ini telah tinggal dan membesar yang mana kehidupan banyak dipengaruhi dengan cara kaedah didikan melalui nenek dan datuknya. Oleh kerana faktor tempat kerja yang jauh, saya hanya berpeluang pulang setiap hujung minggu sahaja bagi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu iaitu memenuhi fitrah kewajipan yang perlu diisi buat anak-anak ini dipenuhi, sama ada dari curahan kasih sayang atau melengkapkan asas keperluan semasa. Faktor perjalanan yang memakan masa lebih kurang 2 jam setengah memberi tekanan peribadi dari segi tenaga, kekangan kewangan dan faktor-faktor lain, dan ini telah jadi satu sempadan di dalam kemampuan untuk berulang alik dari kampung ke tempat kerja. Justeru itu saya korbankan kehidupan saya untuk membesarkan anak-anak ini dengan meletakkan mereka sepenuhnya di bawah jagaan ibu dan ayah saya. Mereka telah dilayan dan diberi perhatian dengan penuh kasih sayang dari seorang nenek dan datuk. Malah mereka juga dapat perhatian yang istimewa dari ibu-ibu saudara mereka.

Ketika pemerhatian ini dibuat saya sedang bercuti selama tujuh hari. Jadi,masa dan peluang yang ada dapat diberikan bersama mereka. Di takdirkan Allah pada ketika ini, kembar yang pertama telah diserang demam panas. Gelagat serta tingkah laku kanak-kanak ketika demam cukup membimbangkan dan mencabar jiwa dan mental bagi seorang ibu. Kesan impak dari anak tersebut telah menyebabkan saya dalam kemurungan. Segala kehendak sama ada dari emosi dan tuntutan perlu dipenuhi kerana dari psikologinya mahukan anak ini tidak memberontak dan dapat memberi motivasi secara psikologi. Kesan dari rengekan serta tangisan boleh menyebabkan ibu sentiasa dalam situasi merundum dan menghadapi tekanan yang buruk. Sudah menjadi lumrah bagi seorang kanak-kanak, menunjukkan protes atau demontrasi bantahan apabila sesuatu keadaan itu tidak dipenuhi. Bagi meluahkan perasaan, tangisan dan rengetan itulah menjadi senjata bagi mencapai hajat dipenuhi.
Kembar pertama bernama Muhammad Alif Iqbal panggilannya ‘abang’. Kembar yang kedua bernama Muhammad Alif Irfan lebih dikenali dengan panggilan ‘adik’.
Subjek kajian dimulakan pemerhatian terhadap karektor abang yang ketika ini tidak sihat. Situasi menunjukkan rengekan melampau dan banyak permintaan di luar jangkaan yang mana kadang-kadang membuat si ibu hilang kesabaran. Walau bagaimana pun, kemahuan dan kehendak abang cuba dituruti. Ketika ini, ‘abang’ dalam keletihan dan baru diberikan ubat. Kesan dari ubat kepada emosi subjek, si abang telah membuat permintaan dimana ingin makan buah rambutan yang belum pun masak. Menangis dan terus menangis sehingga permintaan abang dituruti. Si ibu memenuhi permintaan dengan mengambil sebiji buah rambutan yang masih hijau dan diberikan kepada subjek. Dalam memahami seorang kanak kanak yang sakit, memenuhi tuntutan dengan keadaan yang kekurangan, emosi dan perasaan  anak ini dapat dikurangkan penderitaan dari segi psikologinya. Diperhatikan anak ini telah menggenggam buah rambutan sehingga ia tidur, dan di waktu ini proses perubatan masih diteruskan oleh ibu dengan menjurang kain basah dikepala untuk menstabilkan suhu badan anak.
Abang yang sedang tidur

Buah rambutan digenggaman abang
Buah rambutan yang terlepas dari genggaman abang
Pemerhatian saya beralih kepada subjek kedua iaitu si adik. Adik mempunyai susuk tubuh agak berisi dari abang. Dikala abang didalam kemurungan kerana tidak sihat, si Adik kebingungan kerana tiada kawan untuk bermain, bergurau dan teman bergaduh. Akhirnya subjek membuat keputusan tidur di atas kusyen kayu. Pandangan ibu kepada  wajah si anak ini yang memahami kekurangan kasih seorang bapa. Saya berfikir sejenak ketika ini, apakah anak-anak ini ambil tahu, sedar akan, atau pernah berfikir atau terlintas akan ketiadaan bapa mereka, ataupun mereka ini belum mengerti mahupun jika mereka mengerti, mereka merahsiakan didalam diri dan jiwa mereka. Saya cuba memahami dan mendalami jauh ke isi hati anak-anak ini. Keadaan pemerhatian ini dibuat, adalah di ‘rumah kedai’ tempat ibu saya berniaga. Bunyi bising dengan kehadiran pelanggan dan riuh pikuk kuali diketuk menjadikan suasana tidak sunyi. Ketika ini ramai juga pelanggan yang berkunjung ke gerai, Tapi si adik tidak peduli dengan kebisingan yang ada, apa yang penting dan menjadi motif utama si adik perlu melayan mata dan memenuhi tuntutan nafsu mata yang terlalu mengantuk. Nyenyak betul adik tidur walau disiang hari.


Adik tidur dengan nyenyak.

Lebih kurang dua jam berlalu, abang tersedar dari tidur. Abang terus mendapatkan buah rambutan yang telah terlepas dari tangan beliau. Wajah abang yang sayu, seolah menyatakan abang tidak berdaya dan letih. Hakikatnya, bagaimanakah anak kecil ini dapat meluahkan apa yang terkandung dalam isi hati yang boleh dilafazkan kepada mereka tertentu. Mungkin bagi orang dewasa, sudah pasti akan menyatakan keluhan dan rungutan tentang kesakitan yang dialami. 
Buah rambutan kembali digenggaman abang.
Apabila abang mendengar alunan zikir di televisyen di siaran Astro Oasis, abang bingkas bangun walau tidak terdaya untuk menonton alunan zikir tersebut. Abang memang meminati alunan zikir dan nasyid. Tumpuan abang ketika ini, pada siaran televisyen tersebut. Sayu hati si ibu melihat anak kecil ini di dalam keadaan yang tidak sihat. 

Abang mendengar alunan zikir di Astro Oasis
Pemerhatian saya disambung semula disebelah malam. Setelah siang di rumah kedai, kini saya dan keluarga pulang ke rumah di sebelah malamnya. Kesian melihat emak yang keletihan  menjalankan urusan kedai makan. Pemerhatian diteruskan lagi dengan melihat gelagat abang yang tidak sihat. Tidak semena-mena, abang meminta duit syiling di dalam tabung dikeluarkan untuk bermain. Wah! permintaan di luar jangkaan. Pening kepala saya memikirkan permintaan anak ini. Perlukah dipatuhi, hati kecil ini bersuara. Cuba saya tidak mengikut kehendak abang. Suara abang meraung boleh didengari oleh seluruh penduduk kampung. Inilah gelagat anak kecil yang apabila kehendaknya cuba dihalang. Oleh sebab kasihankan abang yang tidak sihat, kehendak abang saya patuhi. Abang begitu asyik bermain duit syiling. Dituang kedalam bekas. Di susun mengikut kehendak hatinya. 

Abang bermain dengan duit syiling.
Disebelah malam, abang sudah nampak segar dan semakin sihat. Alhamdulillah. Tetapi pengambilan ubat masih diteruskan sehingga betul-betul sihat.
Kesimpulan yang dapat saya buat di sini, kita sebagai manusia mempunyai gelagat dan karenah masing-masing mengikut ketika, keadaan dan suasana. Dewasa atau kanak-kanak mempunyai gelagat dan tingkah laku tersendiri. Selain itu, gelagat manusia juga dipengaruhi oleh faktor umur, jantina, pendidikan, kesihatan dan tempat.

Dalam menangani sesuatu isu, banyak faktor perlu diberi penekanan, didalam faktor memahami tuntutan sifat kemanusiaan yang mana terlalu abstrak serta subjektifnya untuk difahami menjadikan sesuatu kes agak kronik untuk diselesaikan. Apakah ada had atau limitasi tertentu? Bagaimana seseorang individu itu boleh menyelesaikan, adakah cukup sekadar memahami atau memerlukan pengkhususan ilmu, ataupun pengalaman dan kemahiran juga di tuntut. Memahami persoalan dan konteks ini, kaedah, penyebab, kronologi, mahupun apa sahaja, perlu diadun sesuai dengan tugasan dan cabaran dihadapi. Natijah meminta kita membuka seluasnya dan ambil peluang sebaiknya dalam memenuhi tuntutan hidup yang dikehendaki.